Thursday, February 18, 2010

Jenayah Akademik Aktivis Dakwah



“Insya Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita”, kata seorang exco dakwah di sebuah kampus.

Kata-katanya itu sedap didengar, tetapi realitinya separuh benar separuh batil.



DULU-DULU

Dulu-dulu saya pernah membaca majalah sebuah gerakan dakwah yang kini sudah diharamkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang aktif berdakwah hingga tidak sempat membuat persiapan untuk peperiksaannya, telah bertawassul dengan nama mursyid jemaah beliau lalu tertidur di dewan peperiksaan. Sebaik sahaja siswi itu terjaga, kertas peperiksaannya sudah penuh dengan jawapan dan beliau mendapat keputusan yang cemerlang!

Itu kalau versi ‘hikayat menjadi’.

Bagi yang tidak menjadi, pernah di suatu era, ada aktivis dakwah yang menganggap kesanggupan menggagalkan diri dari pengajian atas nama dakwah adalah satu PENGORBANAN yang ditabik rakan sepasukan.

Kita tolong Allah, Allah akan tolong kita… mudah sahaja sifirnya.

Contoh-contoh ekstrim begitu adalah fenomena biasa di era 70′an dan 80′an. Era orang mencampak televisyen ke sungai kerana ‘membenci dunia’.




HARI INI

Namun hari ini, contoh begitu mungkin sudah tidak sebegitu biasa kita dengar. Perbuatan membuang pengajian atau pekerjaan kerana mahu berdakwah sudah jarang-jarang sekali sampai ke telinga kita. Akan tetapi, sikap yang berlegar pada mindset yang sama itu masih sering dilihat dalam catatan aktivis dakwah di kampus hingga ke hari semasa.

Dek kerana kerapnya saya berprogram bersama pelajar universiti, saya terus menerus mengesan masalah ini berlaku di sana sini. Bahawa ramai pelajar yang bersemangat dan aktif dengan dakwah, kecundang di bilik darjah. Kecundang di dewan kuliah.

Apakah golongan yang kecundang akademik hanya dari kelompok dakwah?

Tentu sahaja tidak.

Mereka yang lemah di bidang pengajian atau mungkin terus gagal, terdiri daripada mereka yang beridentitikan pelbagai. Mungkin yang mabuk bercinta, mungkin yang kaki gig, mungkin yang tiada sebab apa-apa sekali pun. Punca kemunduran akademik memang pelbagai. Malah saya tidak terkejut jika ada pelajar yang kecundang pengajian hanya disebabkan oleh cuaca!

Tetapi apa yang ingin diperbahaskan kali ini adalah soal hubung kait aktiviti dakwah dengan aktiviti kuliah.




‘ESCAPISM’

Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?

Di suatu ketika, saya pernah menyeru anak muda aktivis dakwah supaya mencari keseronokan di dalam mengerjakan amal Islami. Cari nilai untuk menyalakan KEINGINAN YANG MEMBARA. Jangan hanya bergantung pada soal kewajipan, tekanan suasana dan mengikut trend semata. Dakwah itu mesti inside-out. Ia harus datang dari kepercayaan diri bahawa setiap satu tugasan dakwah, menambah makna dan nilai dalam hidup.

Tetapi dalam masa yang sama, keseronokan dakwah itu jugalah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab mengapa aktivis dakwah di kampus hilang minat dan tumpuan pada pelajaran. Mereka bertemu dengan kepuasan dan keinginan di dalam dakwah, tetapi tidak di bilik kuliah.

Sama sahaja… sama ada pelajar di bidang pengajian Islam, mahu pun sains atau undang-undang, ia boleh terjadi. Penyakit hilang minat dan keghairahan terhadap mata pelajaran di bilik kuliah sering berlaku.

Dakwah menjadi tempat mahasiswa dan mahasiswi ini melarikan diri dari tekanan, kebosanan dan segala perasaan negatif yang dialami semasa menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan assignment. Segala perasaan yang tidak seronok lagi merimaskan itu, dapat dilupakan seketika semasa hadir ke dalam usrah, tamrin, ceramah, malah demonstrasi.

Bukan sahaja program dakwah harakiyyah, malah sebahagian pelajar lebih konsisten dan hadir dengan penuh minat ke kelas-kelas menadah kitab dan pengajian tidak formal tetapi mengabaikan kelas, peperiksaan dan tidak endah pada kemerosotan keputusan peperiksaan.




ALASAN

Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.

“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!”, kata seorang pelajar.

Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.

Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.




MENOLAK ‘ACUH TIDAK ACUH’

“Abang nak makan ayam masak merah”, kata seorang suami kepada isterinya.

Lalu si isteri ke dapur, digorengnya ayam, ditumisnya sos yang merah, dicampur keduanya dan dihidangkan di dalam pinggan percuma semasa membeli ubat gigi kotak besar.

“Suprani, bapak mahu makan ayam masak merah”, kata lelaki yang sama itu, kepada pembantu rumahnya.

Lalu si Suprani pergi ke dapur, digoreng ayam, dibuat kuahnya seelok mungkin, ditabur pula dengan daun sup, dihias dengan bawang besar, cili belah empat kembang bunga, dan dihidang di dalam pinggan Pyrex bersama nasi panas.


Agak-agaknya, tanpa perlu berbahas dan berdebat, kita sedia maklum yang tentu sahaja si lelaki itu tadi lebih berminat untuk makan ayam masa merah hasil masakan Suprani berbanding isterinya sendiri. Dua-dua ayam masak merah, tetapi ayam masak merah si isteri itu acuh tak acuh. Cincai kata sesetengah orang. Manakala ayam masak merah si pembantu rumah, biar pun yang memasaknya adalah pembantu rumah, tetapi kesungguhannya memasak menyebabkan lelaki itu lebih teruja untuk mencubanya.

Sifirnya mudah.

Tiada manusia yang suka dengan hasil kerja ala kadar, bagai melepaskan batuk di tangga. Dan sebelum kita sesama manusia lebih memilih hasil kerja yang ada nilai kesungguhan, Allah SWT itu sebagai Tuhan lebih Memandang hasil kerja dan ibadah hamba-Nya yang dilakukan secara yang terbaik. Optimum.

Itqan.

Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendak habl min al-naas sesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada habl min Allah!

Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam.

Lupakah kita kepada firman Allah SWT:



“Sesungguhnya orang terbaik yang boleh engkau ambil bekerja adalah orang yang mempunyai kekuatan lagi amanah” [Al-Qasas 28 : 26]

Kesempurnaan pada kelayakan seseorang yang ingin diberi tugasan adalah gabung jalin yang kemas di antara integriti dan kompetensi. Bukan sahaja mempunyai kualiti akhlaq malah memiliki kemahiran, ilmu pengetahuan dan segala kekuatan yang diperlukan untuk sebuah tugasan.

Kita tidak mahu gerakan Islam dan barisan saf perjuangan Islam dipenuhi dengan longgokan sisa manusia yang tidak berkualiti. Membiarkan pencapaian masing-masing di dalam akademik pada tahap atas urat, adalah suatu pengkhianatan kepada ketinggian dan kemuliaan Islam.




KEPUTUSAN PEPERIKSAAN BUKAN SEGALANYA

Setuju. Saya setuju 100%.

Sebab itu saya tidak pernah mengajak kita mengukur kecemerlangan hanya berpandukan keputusan peperiksaan. Ada banyak faktor yang mempengaruhi keputusan peperiksaan, biar pun selalunya ia berpihak kepada yang tekun berusaha.

Kecemerlangan yang diperlukan ialah pada komitmen pelajar yang da’ie, menempuh proses pembelajaran, dan bukan hanya berorientasikan output. Maksud saya, sama ada seorang pelajar itu hadir ke kelas, mengikuti kuliah, membuat kajian, menulis assignment… itulah sebenar-benarnya penentu kecemerlangan. Segala proses itu penting kerana ia merupakan latihan sebenar kepada pemikiran dan daya ilmiah seorang pelajar. Di dalam kelaslah dia belajar berfikiran kritis, belajar bertemu dengan pandangan-pandangan yang berbeza, belajar bersoal jawab, belajar bertanya dan belajar menjawab… iaitu segala-galanya yang di kemudian hari menjadi asas terpenting untuk memimpin dan menerajui masyarakat.

Dan sudah semestinya, jika kelas dihadiri, kajian dibuat, menulis assignment diselesaikan, sedikit sebanyak ia akan menghasilkan natijah yang bagus di akhir musim peperiksaan.

Tetapi kalau kita berhasil menjawab keputusan peperiksaan hanya kerana ‘bernasib baik’ apabila soalan dihafal secara last minute, tetapi tidak ke kelas, tidak mengikuti PROSES pembelajaran, maka segala-galanya tidak ke mana. Lantas segenggam ijazah pun belum tentu ada nilainya!

Pendakwah yang mengkhianati proses pembelajaran semasa di alam menara gading, mereka amat berpotensi untuk masuk ke masyarakat dengan kualiti kepimpinan yang lemah… ekoran pemikiran tumpul yang tidak diasah semasa di alam belajar!




AKIBAT LEMAH AKADEMIK

Kadang-kadang kita menganggap akademik hanya sebagai wasilah. Sekadar tiket untuk memenangi kepercayaan masyarakat. Seumpama lesen.

Tetapi kita sering lupa, lemahnya penguasaan diri terhadap ilmu-ilmu di kelas akan memberikan implikasi yang buruk di masa hadapan… bukan hanya semasa alam pekerjaan bahkan boleh melarat hingga ke Akhirat.


Syariatullah

Pelajar pengajian Islam yang tidak menguasai pengajiannya akibat lemah tahap pembelajaran akan terdedah kepada jenayah di masa depan.

“Ustaz, apa hukumnya zakat KWSP?”, tanya seorang jemaah di surau.

“Alamak… itulah benda yang pensyarah bincangkan tapi aku tak pergi kelas masa tu!” rungut si ustaz di dalam hatinya.

“Err… saya rasa tak payah kot!”, jawab si ustaz ala-ala mujtahid.

Tidakkah perbuatan itu suatu pengkhianatan? Memberikan panduan muamalat yang salah kepada masyarakat, mengingkari Syariat Allah SWT lantaran kecuaian dirinya sendiri semasa di alam pembelajaran. Semasa belajar sudah biasa tak buat homework, bila berceramah pun tak buat homework.

Itu jenayah terhadap Syariatullah.




Sunnatullah

“Err, pesakit diabetik ni nak suntik 1 unit atau 10 unit atau 100 unit insulin ya?”, seorang doktor muda berteka-teki di dalam dirinya.

Akibat kemalasannya terhadap kelas pengajian, atau belajar secara ala kadar, beliau menyuntik pesakitnya dengan 100 unit insulin sedangkan peraturan tubuh badan yang ditentukan Allah SWT hanyalah pada kadar 6 ke 10 unit.

Pesakit mati mengejut akibat hipoglesimik.

Berdosa atau tidak? Jenayah atau tidak?

Dosa terbit bukan hanya kerana melanggar hukum Syariat tetapi juga hukum Sains. Seorang ustaz yang tidak berkompetensi, sama sahaja dengan seorang doktor, jurutera, atau apa sahaja pekerjaan profesional yang tidak berkompetensi.

Mencetus mudarat..

Maka ala kadar dalam menguasai bidang pengajian masing-masing bukan sekadar masalah sikap yang biasa. Ia mampu membunuh!

Ke mana anda mahu membawa dakwah jika duduk di tengah masyarakat sebagai ustaz yang tiada amanah ilmiah atau doktor yang tiada amanah yang sama?


ALLAH MESTI TOLONG

Akhirnya sampai kita kepada alasan paling biasa.

Kita manusia biasa, tetapi sering mengharapkan benda-benda yang luar biasa.

“Kalau kita tolong agama Allah, mesti Allah akan tolong kita!”, yakin benar seorang aktivis dakwah kampus berkata begitu.

Cuba perhatikan firman Allah SWT:


“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]

Allah SWT berjanji akan membantu.

Tetapi syarat asasnya adalah TAQWA.

TAQWA itu adalah kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT… meliputi Syariatullah dan Sunnatullah. Ia telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar semasa memperkatakan tentang kualiti Muslim yang mesti bukan sahaja SYARIATIC (komited dengan Syariatullah) malah SCIENTIFIC (komited dengan Sunnatullah).

Jika kita baca sejarah perjuangan Rasulullah SAW, baginda tidak pernah mengambil jalan mudah memperalatkan statusnya sebagai seorang Rasul dan pejuang kebenaran untuk melengah-lengahkan persediaan. Tidak pernah baginda berkata “kalau Allah yang perintahkan aku berjuang, mesti Allah akan tolong menangkan aku!” Tidak sama sekali.

Biar pun sehimpun janji dikurniakan Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan, Baginda SAW sentiasa mengambil asbab kemenangan secara optimum.

Jika dianalisa peristiwa Hijrah, Baginda SAW telah mengatur sehebat-hebat strategi dan persiapakan untuk menjayakannya. Begitu juga dalam perang-perang yang lain. Strategi yang pada hari ini layak digelar sebagai SAINS KETENTERAAN.

Termasuk juga dalam soal pentadbiran, pengurusan dan kerja seharian. Baginda SAW tidak pernah memalaskan diri dalam ikhtiar dan usaha hanya kerana keyakinan bahawa “Allah bersama kita!”.

Tetapi aktivis dakwah hari ini ramai yang mudah tersasar.

Mereka tanpa segan silu dan malu, merengek-rengek meminta kemenangan sedangkan ikhtiarnya tidak seberapa. Hanya kerana Allah menjanjikan kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan kebenaran, mereka melengahkan usaha, tidak seperti orang tidak berTuhan yang tiada janji kemenangan! Pejuang kebatilan melakukan sepenuh daya upaya mereka untuk perjuangan mereka… kesungguhan yang sepatutnya menjadi isi dan kulit manusia berTuhan seperti kita.





BERLATIH MENGURUSKAN REALITI

Sesungguhnya aktivis dakwah di kampus yang gagal menguruskan pengajian di samping tugasan dakwah… mungkin bakal menjadi aktivis yang turut gagal apabila keluar dari kampus.

Tahun 2 pengajian jauh lebih sibuk dari tahun 1.

Tahun akhir jauh lebih sibuk dari tahun-tahun yang sebelumnya.

Bekerja sebelum pengesahan jawatan jauh lebih sibuk dari tahun akhir pengajian.

Bekerja selepas pengesahan jawatan akan disibukkan pula dengan alam berumahtangga. Dari satu emak satu bapa, menjadi dua emak dua bapa. Dari satu kelompok sepupu menjadi dua kelompok sepupu. Dari 5 jemputan kenduri semasa cuti bertambah menjadi 10… semua itu akan berterusan.

Tatkala komitmen semakin reda, jantung pula sudah lemah, darah sudah bertekanan tinggi, urat dan sendi sudah tidak sihat lagi.





TAMRIN DISIPLIN

Sesungguhnya keupayaan seorang pelajar menguruskan akademiknya adalah TAMRIN yang paling penting untuk menghasilkan kualiti pengurusan realiti yang diperlukan apabila pelajar ini meninggalkan alam pengajian.

TAMRIN itu adalah TAMRIN DISIPLIN. Latihan mendisiplinkan diri iaitu berusaha untuk mengawal diri agar komited melakukan perkara yang kita tidak suka, demi meraih apa yang kita suka, suatu hari nanti. Di samping beroleh keseronokan sebagai momentum di dalam dakwah, jangan lupa bahawa ada perkara tidak seronok yang perlu kita pelihara sebaiknya.





“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [Al-Baqarah 2: 216]

Mungkin di alam TAMRIN akademik, bilik kuliah adalah medan perang yang kamu benci… padahal ia ditentukan Allah sebagai KEBAIKAN buat dirimu.

Berdisiplinlah!

p/s: pelajar yang enggan memikul amanah dakwah dengan alasan kesibukan akademik juga harus banyak berkoreksi dan memuhasabah diri…


~~*~~


Sumber: Abu Saif

6 comments:

tuantaufik said...

BENAR (dalam capital letter, menunjukkan pengomen menjerit sambil menulis) hehehe... aqi, apa rasa buah pisang? camni r, dahla ana hanya dihantar gambar buah untuk ditatap, rasanya pun xdengar berita... hukhuk...

Amar san said...

salam..

laah.. ana ingat anta yg tulis.. copy paste rupanya.. apa2 pun tq atas perkongsian yg berharga ini..

wslm

Bashir IbnDzul said...

dalam solusi no 16 pun ade ni kan?

tuantaufik said...

Benar Aqi. Apa la malas belajar, dahlah tido lepas maghrib.

Anonymous said...

baca sekali imbas pun boleh tau bukan dia yg tulis. x cukup ta'aruf ni ...

Abu Khalid said...

:)

'Sekeping' senyuman untuk semua orang

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]