Thursday, December 10, 2009

Berikan Mutarobbi gaji mereka


*Ya Allah, peliharalah daku daripada bercakap apa yang tidak aku amalkan

*Ya Allah, peliharalah kami daripada ilmu yang tidak membuahkan amal

*Ya Allah, jatuhkanlah ego di dalam diri ini yang bakal menghalang hijrahku kepadaMU




Berikanlah, jika anda sayangkan dakwah

Sepakat kita menyatakan bahawa hikmahnya dakwah kita adalah dengan keberkesanan, bukan sekadar kelembutan. Kita juga telah bersepakat, bahawa jiwa-jiwa yang dikenal, lebih mudah didekati dan diislahi, menjadi jiwa-jiwa seperti kita, seterusnya melestari perencanaan pembinaan ketamadunan yang benar-benar islami.

Jiwa-jiwa yang dirapati ini, bukan rapat-rapat biasa. Seringkali, 'para pendakwah baru' cenderung sekadar menjadi surat-surat khabar sahaja. Memaklumkan. Memberi maklumat. Memberitahu ada program umum baru. Akhirnya, mad'u-mad'u yang baru ini, menganggap kita tidak lebih daripada orang-orang luar yang 'islamik'. Seorang murobbi atau dae'i itu, dianggap sebagai orang asing, yang ada kalanya disenangi, di kala yang lain pula, sangatlah mengacau dan menyesakkan dada.

Di sana, pada awal pendekatannya, Sang Dae'i yang ingin menggoncangkan dunia ini perlu belajar untuk menggoncang jiwa. Pada awal pertemuan, Sang Dae'i sepatutnya bertukar warna, hingga sepanjang perkenalan itu, dalam surau yang sesak dengan orang itu, Sang Dae'i menjadi fluorescence warnanya di mata mad'u-mad'u ini. Andai malamnya, dalam surau yang sama, ditutup lampunya, Sang Dae'i bertukar menjadi glow in the dark, hingga tiada orang lain di mata mad'u-mad'u gersang ini, selain Sang Dae'i. Sang Dae'i lah yang ingin diketahui namanya, Sang Dae'i lah yang ingin diketahui asalnya, Sang Dae'i lah yang ingin diketahui Sang Dae'i no hensetnya serba serbi, dan Sang Dae'i lah yang ingin di add facebooknya.

Pada pertemuan seterusnya, Sang Dae'i sahaja lah yang menghafal setiap butiran tentang dirinya, dan terus-menerus menarik minat mad'u, hingga lahir bibit-bibit cinta dan sulaman ukhuwwah pada saat itu. Hingga tidak perlu lagi dikejar-kejarin, ia akan hinggap di bahu Sang Dae'i dan mengelilinginya pada setiap waktu dan ketika.

Sang Dae'i akan ada pada setiap masa untuk mad'u-mad'u ini. Tanpa sebarang kata, hubungan ke'kawan'an non-verbal itu terbentuk. Tanpa perlu sebarang perancangan, mereka akan saling tolong menolong dan sentiasa ada semasa susah senang, umpama dihubungkan dengan telekomunikasi minda yang tidak mampu diterangkan mekanismanya.

Dengan adanya Sang Dae'i, mad'u tidak pernah rasa sunyi sekolej dengannya. Sang Dae'i lah penghibur, Sang Dae'i lah peneman, Sang Dae'i lah segala-gala.

Bila serapat itu hubungan antara 2 jiwa itu, Sang Dae'i perlu mula melakukan islah jiwa perlahan-lahan mengikut muwasofat muslim. 1 demi 1 hakikat islam dalam dirinya dibentuk, selagi ia masih lembut untuk dilenturkan. Dan di sinilah letaknya program-program umum untuk membantu.

Program mukhayyam umum untuk membuka mata mad'u kepada alam islami, program riadah umum untuk merapatkan ukhuwwah, program rehlah umum untuk membina perkenalan baru dengan ikhwah lain, program daurah yang akan menyebabkan akal dan hati mereka perlahan-lahan tersentap untuk melakukan sesuatu untuk islam, menangisi kanser-kanser yang meratah tubuh badan ummah.

Sang Dae'i perlu belajar untuk beri segala-galanya untuk kelansungan dakwah itu.





Rasulullah melaknat orang yang menyuap dan disuap
(Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Bukan rasuah yang dimaksudkan. Dan bukanlah gaji kepada mutarobbi (yang ditarbiyyah) itu berupa materi, namun sebuah keberhasilan dalam proses tarbiyyah. Ianya bergantung kepada matlamat hujungnya sebuah perjuangan.

Kadang-kadang kita mengeluh kerana mad'u-mad'u lari. Mad'u tidak menjadi. Mad'u sudah putus semangat. Sedangkan kita lupa amaran Hassan Al-Banna dalam Muktamar Khamis.

"Sesiapa yang mampu bersabar dengan saya hingga benih tadi berkembang, tumbuh sebagai pokok, mengeluarkan buah yang baik dan tiba masa untuk memetiknya maka kesabarannya akan diberikan ganjaran oleh Allah."

Aspek yang kita lupa dalam pembinaan pejuang ini adalah makanannya. Keberolehan mutarobbi sepanjang pembesarannya. Pokok yang membesar, yang diharapkan buahnya, pokok yang akan memuntahkan buah andai dikasari itu, memerlukan supliment-supliment.

Air untuk bermetabolisme, cahaya untuk memproses makanan, baja untuk kesuburan, tanah untuk keteguhan, oksigen untuk bernafas.

Apa yang paling aku bimbangi ialah, mad'u-mad'u yang berlegar di sekitar dae'i, tidak mendapat walau sesen manfaat daripadanya. Sedangkan di pihak jahiliyyah, pelbagai ganjaran yang ditawarkan pada mereka yang sanggup menjadi hamba kesesatan.

Kedudukan, mereka diberikan jawatan di tempat-tempat kebatilan dipertahankan. Mereka menjadi presiden, dan AJK-AJK yang mengangkat martabat mereka di mata rakan-rakan sebaya mereka. Hingga akhirnya mereka gagal melihat kedudukan sebagai seorang pembawa agama Allah itu, ada darjatnya di akhirat kelak.

Harta, mereka diberikan pelbagai kemudahan, kewangan, dan makanan sepanjang perjuangan mereka. Sedangkan bersama Islam, Harta dan Jiwa dikorbankan, menjadi mahar dengan syurga sebagai balasan.

Kemahiran dan pelbagai lagi. Kemahiran-kemahiran kerja berkumpulan, menjadi fasilitator, kemahiran berniaga, membina jaringan, membina public relation, meluaskan perkenalan etc. Sangat banyak gaji yang dibayar oleh jahiliiyah. Sedang kita seolah-olah gagal menawarkan apa-apa.

Maya pada ini menawarkan ganjaran yang sangat banyak walau ianya sementara, ia jelas di mata.

Jadi, menjadi tugas kepada para murobbi (bukan setakat dae'i) untuk memberikan gaji-gaji, bermanfaat kepada mad'u-mad'u yang kehausan belaian islam mereka. Berikan mereka sesuatu, hingga mereka merasakan sangat 'berfaedah' andai berada dalam gerabak dakwah ini, semuanya mengikut darjat kefahamannya tentang islam dan kehidupan. Jika gaji ini diberikan dengan baik, nescaya mereka akan tetap lekat denganmu walau di celahan bumi mana dakwah ini diperlukan.

Murobbi boleh mengajar mereka menjadi pemain CounterStrike yang lebih kompeten. Murobbi boleh mengajar mereka berenang dan bersukan. Murobbi boleh memberikan mereka motivasi dalam belajar dan juga menjadi tutor kepada subjek-subjek akademik. Dalam menguruskan aktiviti di fakulti mahupun kolej, kumpulan usrah boleh saling tolong menolong dan merencana program bersama agar ia selari dengan kehendak islam dan dakwah. Namun, gaji yang paling bermakna ialah, memberikan kefahaman islam kepada mereka, dengan antusiatisme mereka.

"Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Din (Islam)"

(Shahih Bukhari dan Muslim)




Ramai pejuang di luar sana tidak mendapat gaji mereka

Bersyukurlah kita seandainya kita masih ada usrah setiap minggu. Bersyukurlah jika masih ada daurah bulanan, mukhayyam dan program-program tarbiyyah kita berjalan tanpa henti. Dan bersyukur jika naqib kita tidak putus-putus telefon, email, ym dan ber-dating dengan kita.

Betapa ramai ikhwah akhwat di luar sana yang sangat sibuk berprogram, mendidik jiwa-jiwa namun akhirnya program tarbiyyah untuk jiwa mereka pula yang terlepas pandang. Ramai, tidak sedikit. Dakwah yang dikejar-kejar, namun medan tarbiyyah ditinggalkan. Mereka gagal mencari prioriti, hingga akhirnya diri sendiri tergadai.

Mereka ini terkorban, bukan berkorban. Sesungguhnya aku cemburu dengan mereka, kerana tanpa gaji, mereka tetap gigih bukan sahaja bersama islam, tetapi memperjuangkannya di barisan paling hadapan. Namun, alangkah baiknya jika mereka ditajnid menjadi jundi yang lebih berkualiti, kaya dengan ruh, fizik dan ilmu.


No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]