Wednesday, November 18, 2009

Biarlah tangan orang lain yang mengubahnya




Mari kita berlipur lara lagi

Di suatu zaman lampau, di suatu tempat yang jauh, di sebuah kampung yang harmoni, tinggal sekelompok manusia yang hidup bahagia bersama. Diketuai oleh seorang ketua yang berkarismatik yang sangat berpengetahuan. Kampung ini di bawah jajahan Khalifah Amir. Mereka redha dengan Khalifah Amir, dan Khalifah Amir redha dengan mereka.

Diceritakan lagi, sudah menjadi visi Khalifah Amir ini, ingin meluaskan jajahan takluknya, agar seramai mungkin orang di atas bumi Tuhan ini, merasai keindahan sistem yang dibawanya. Tidak terlintas di fikirannya untuk menakluk bumi sekadar suka-suka ataupun dirinya dikenang saat kemangkatan. Semuanya adalah untuk menegakkan kebenaran. Syahadatul Haq.

Setiap peperangan itu, pasti mendapat sokongan rakyat kerana mereka juga mempunyai kesedaran tentang apa yang ingin dilaksanakan oleh pemimpin mereka. Rakyat akan memberikan bantuan berupa tenaga kerja, tenaga buruh, bahan-bahan asas, logam, senjata, kenderaan, makanan, minuman dan apa sahaja kepada Khalifah Amir dan tenteranya, supaya sama-sama mendapat saham kemenangan.

Pada suatu hari yang lain, wakil Khalifah Amir datang ke kampung tersebut dan memberitahu ketua kampung bahawa tentera-tentera baru pulang dari medan perang, dan mereka berharap dapat singgah di kampung tersebut untuk beristirehat. Permintaan itu disambut oleh ketua kampung, mewakili penduduk kampung yang lain, dengan berbesar hatinnya. Inilah saat yang ditunggu-tunggu. Mengembirakan tentera itu, merupakan kegembiraan mereka.

Maka ketua kampung itu, mengarahkan anak-anak buahnya mencari perkakas-perkakas untuk mempersiapkan makanan dan minuman. Kepada penduduk kampung, diarahkan agar setiap seorang daripada mereka membawa sebaldi air susu sebelum keesokan harinya, agar tempayan gergasi yang diletakkan di tengah-tengah kampung itu penuh dengan susu-susu segar, buat santapan tentera-tentera yang gagah perkasa itu.

Maka, seluruh penduduk kampung pun bertebaran ke ladang-ladang tenusu mereka, untuk melaksanakan amanat yang telah diberi, membawa sebaldi air susu.

Dibuatnya cerita, seorang penduduk, yang dirahsiakan namanya, telah terfikir suatu idea yang bernas lagi bijak;

"Daripada aku susah-susah nak pergi jauh-jauh ke ladang aku, nak perah susu lagi, apa kata jika aku bawa sebaldi air biasa (plain water) sahaja? Kalau sebaldi air ni dah campur ke dalam susu yang berbaldi-baldi yang banyak tu, bukan orang perasan pun..."

Dengan perasaan malas dan berpuas hati dengan kebijaksaan diri, lelaki tadi terus ke tengah kampung tersebut pada malam harinya, ketika tiada siapa yang melihat dia, kecuali Allah Yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.

Maka pada keesokan harinya, tentera-tentera yang gagah dalam kepenatan mereka, tiba di kampung dengan disambut oleh penduduk-penduduknya, termasuklah lelaki rahsia yang pemalas tadi. Tidak sabar-sabar mereka meluru ke tempayan besar yang mengandungi susu segar berkhasiat penuh krim disukai ramai, kerana khabar dari kampung-kampung lain mengatakan bahawa lembu di sini bukan main sedap susunya. Kesemua askar ini, tidak mampu menyembunyikan lidah mereka ketika ketua kampung perlahan-perlahan membuka tudung tempayan susu... .... ....

Dan terkejutnya setiap daripada mereka, yang memenuhi tempayan tersebut bukannya susu, tetapi Air Biasa!





Biarlah orang lain yang bekerja

Seakan sukar diterima. Namun itulah hakikatnya, bila semua orang berlepas tangan daripada melaksanakan tanggungjawab qawiy (yang paling utama, berkesan, KUAT) itu. Bila semua peserta di atas pentas Dakwah Tarbiyyah itu saling menundingkan jari, maka, ummah yang akan menjadi mangsa.

Hanya kerana 'seorang' yang malas dan 'mencari-cari alasan' dengan 'bijaksana' dan 'hikmah'nya, akhirnya tentera-tentera yang terpaksa menerimanya. Cukuplah cerita santai ini untuk menggambarkan natijah sifat berat tulang kita.

Bagi yang masih belum dapat memahami cerita itu lagi, izinkan aku memberikan sedikit pencerahan. Lelaki misteri tadi rupa-rupanya bukanlah satu-satunya orang yang berfikir untuk bermalas-malasan. Rupa-rupanya, jauh di benak pemikiran semua orang, mereka mengharapkan orang lain akan membawa susu, dan mereka mengharapkan semua orang membawa susu. Al-maklum, sekiranya susu dan air bercampur, ia tidak akan merosakkan susu tersebut melainkan kepekatannya yang akan berkurang. Pada keesokan harinya, semua orang, termasuk 'pesalah-pesalah' yang ada merasa terkejut, kerana hasil carca-marba mereka, kerja cincai-cincai mereka, akhirnya, semua orang membawa air biasa dan hasilnya bukanlah air susu, tetapi air biasa!

Begitu juga kita dalam kehidupan kita sehari-hari. Dalam kita melaksanakan tugas kita sebagai 'abid dan khalifah di muka bumi Allah ini, seharusnya kita sedar bahawa pertanggungjawaban (taklifan) itu jatuh ke atas setiap daripada kita. Kelak, di hari pengakhiran itu, kita akan dipersoalkan secara fardhi oleh Maha Pencipta.

Pernah sekali di kawasan kediamanku, sedang semua orang duduk di rumah masing-masing. Bermesra dengan sahabat-sahabat mereka, bermain dengan anak-anak mereka, berkomunikasi dengan televisyen mereka, sibuk dengan YM mereka. Semua orang 'saling harap-mengharapkan antara satu sama lain' untuk mengumandangkan azan di surau. Semua orang masing-masing menunggu panggilan itu, walaupun sudah sampai waktunya. Dan bila sudah lewat, barulah semua mereka bertolak ke surau dan saling salah-menyalahkan.

Tragedi tragis ini tidak berlaku di kawasan aku sahaja. Alangkah malangnya nasib umat islam yang sudah sedia menderita sekarang, kerana ia berlaku di mana-mana. Mereka menyatakan bahawa ia merupakan suatu amal fadhu kifayah. Taklifan itu jatuh kepada kelompok, tidak pada individu. Namun mereka lupa, bahawa fardhu kifayah itu adalah objective oriented.

Maksudnya, bukan asalkan terlaksana oleh walau seorang. Tetapi, ASALKAN BERJAYA. Berjayanya fardhu kifayah pada azan adalah pada berkumandangnya azan pada waktunya. Berjayanya fardhu kifayah mandi jenazah dan solat jenazah, adalah apabila jenazah selesai diuruskan. Dan berjayanya fardhu kifayah dakwah adalah pada kembalinya seantero ummat itu kepada islam! Ya. Jika mereka itu masih berpendapat dakwah islam itu fardhu kifayah, maka terimalah hakikat bahawa ia telah jatuh wajib, kerana dakwah kita masih gagal.

Gagal menerembusi hati-hati insan, gagal membentuk masyarakat islami, gagal mewujudkan negara yang betul-betul berteraskan islam, gagal membela nasib ummah di seluruh dunia, gagal mengembalikan keamanan dunia seperti dahulunya di bawah pimpinan khalifah.

Sayangnya, jika diteliti dengan lebih dalam lagi, masalah itu bukan lahir daripada kelompok manusia yang tidak faham islam, tetapi ia lahir seburuk itu dari kelompok 'kita' lagi. Ikhwah akhwat yang sudah lama ditarbiyyah, yang sudah mendapat kefahaman islam, lebih senang 'melihat' sahaja orang lain mencari hati-hati untuk dipaut. Kita melihat sahaja ikhwah akhwat lain bersusah payah, berkorban itu dan ini untuk melaksanakan usrah itu. Kita sekadar melihat (dan komen panjang lebar) melihat ikhwah akhwat lain memberikan taujih, memberikan daurah tanpa kita sedar, bukanlah menjadi hobi di kalangan ikhwah akhwat itu untuk memberikan ceramah berjam-jam, namun kerana memahami hakikat tanggungjawab! Tanggungjawab yang berat!!!

Sayangnya, dalam saff dakwah ini, kita sering berlambat-lambatan dan lebih suka pass baton kepada orang lain dengan alasan kurang ilmu, kurang masa, kurang keyakinan, kurang kacak, kurang duit, kurang pandai bercakap, kurang macam-macam. Kita bukan beralasan pada orang lain, kita beralasan pada diri sendiri, kerana di akhirat kelak, kita yang akan ditanya. Dan pada waktu itu, alasan kita sudah tidak diterima.



Seandainya Rasulullah juga berkata begitu

Dakwah islam ini bukannya perkara yang mudah dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW, di zaman Mekah itu. Di sana, kita akan nampak banyak ruang yang boleh dijadikan alasan oleh Rasulullah untuk tidak melaksanakannya. Pada zaman itu, pengangkutan tidaklah sehebat sekarang. Pada zaman itu, sistem komunikasi tidaklah secanggih sekarang. Dan pada waktu itu, kaum kafir Quraisy sedang taksub dengan penyembahan Lata, Uza dan rakan-rakan, menyebabkan tentangan terhadap dakwah itu sangat hebat. Ia tidak segampang (sesenang) zaman-zaman selepasnya.

Jika Rasulullah beralasan, tidak mahu melakukan kerja itu, pastinya Abu Bakar As-Siddiq akan mati dalam kekufuran. Pastinya Umar Al-Khattab juga akan mati kekufuran. Sedangkan, merekalah yang telah menerajui ummah ketika penyebaran islam besar-besaran itu. Di awal zaman mekah, Abu Bakar As-Siddiq lah yang paling aktif berdakwah. 5 daripada sahabat yang masuk islam di tangannya itu adalah antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Kita juga maklum tentang kehebatan pemerintahan Umar Al-Khattab, yang Parsi dan Rom tumpas di tangannya. Semuannya ini tidak akan berlaku, jika Rasulullah mahu beralasan.

Kita masih ingin memberikan sebaldi air biasa?



~~*~~


3 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

pretty cool stuff here thank you!!!!!!!

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]