Hasan Al-Banna telah menukilkan sebuah kisah dalam Memoar Pendakwah dan Dakwahnya:
"Seorang akh (Syed Abu Saud) ada sebuah kedai runcit. Seorang anggota ikhwan lain yang bernama Mustafa Yusuf telah membeli sebotol minyak wangi dari Syed Abu Saud dan membayar 10 Qursy. Tetapi Syed Abu Saud enggan menerima wang yang berjumlah lebih dari 8 Qursy. Kedua belah pihak enggan beralah dari pendirian masing-masing.
Saya anggap ini satu contoh yang baik. Akhirnya saya masuk campur dan meminta senarai harga barang. Saya dapati sedozen botol minyak wangi berharga 96 Qursy. Rupanya si peniaga tidak mahu mengambil sebarang keuntungan dari para sahabatnya.
Kemudian saya berkata kepadanya, 'Jika anda tidak mengambil sebarang keuntungan daripada saudara anda dan musuh anda pula tidak membeli satu apa pun dari anda, maka bagaimana anda ingin menyara hidup anda?
Syed Abu Saud menjawab, 'Tidak ada perbezaan di antara saya dan sahabat saya. Saya akan gembira jika dia menerima tawaran saya itu.' Saya bertanya pula kepada Mustafa Yusuf, 'Mengapa awak menolak tawaran sahabat awak itu?'
Dia menjawab, 'Jika di kedai lain saya perlulah membayar 10 Qursy, Di kedai sahabat saya pula saya berkewajipan membeli barang tadi walaupun dengan harga yang lebih dari itu'. Saya menyelesaikan perkara itu dengan menentukan bayaran sebanyak 9 Qursy."
Kita sering mendengar rakan-rakan kita mengeluh tidak mendapat hak mereka. Tidak diberikan hak yang saksama untuk mengundi contohnya... Atau tidak diberikan hak untuk bercakap dalam mesyuarat, atau dalam usrah. Juga tidak diberikan hak yang sewajarnya diberikan sebagai seorang pengguna. Ataupun sebagai penuntut di sebuah IPTA. Dan macam-macam lagi.
Semuanya dengan minda penerima. Sedangkan setiap fardu akan dinilai atas apa yang diberi, bukan apa yang diterima/dimiliki di akhirat kelak.
Setiap orang mulia dengan apa yang diberinya, bukan dengan apa yang diterima.
Seseorang mulia bukan kerana anugerah yang diterima, tetapi apa yang diberi olehnya hinggakan melayakkanya menerima hadiah seumpama itu.
Sekiranya kita yakin, apa yang ada di akhirat sana itu lebih utama. Sekiranya kita yakin, nilaian Allah itu lebih tepat.
Begitu juga kita dan ukhuwwah ini. Seseorang itu lebih dihargai apabila ia banyak menerima. Percayalah, nikmat ukhuwwah itu akan lebih terasa apabila kita memberi, bukan apabila kita menerimanya.
~~*~~
Semasa ummi hidup, dia tidak pernah menyakiti hati sesiapa. Dia tidak pernah berebut harta, bahkan harta peninggalan yang ditinggalkan datuk tidak sedikit dijamahnya.
Di tempat kerja, tidak pernah aku melihatnya bertikam lidah dengan sesiapa. Walhal perang sudah dinyalakan.
Di rumah, tidak pernah aku lihat beliau meninggikan suara kepadanya abi, walau sekalipun. Tidak pernah aku melihatnya engkar walau satu perkara.
Kemarahannya hanya tergambar pada kami, anaknya yang ganaz-ganaz ni. Dan ternyata baru kini aku memahami betapa sayang dan cintanya dia pada kami. Bila sudah mula memikul tugas di atas bahtera rumahtangga, baru aku sedar betapa dia melaksanakan segalanya untuk kemaslahatan kami juga.
Dan dia seumpama tidak memiliki apa-apa. Tiada apa yang mampu diwasiatkan untuk kami. Tiada apa yang dikumpul untuk dirinya sendiri. Kerana dia tidak meminta, dia hanya memberi seumur usianya.
Apabila ummi meninggal dunia, banglo kami tidak mampu memuatkan rakan-rakan dan kenalan-kenalannya yang menyayanginya. Begitu juga laman rumah kami yang besar pada waktu itu (sekarang kami baru berpindah ke teratak baru, di KL), juga tidak mampu menampung mereka. Hingga ada yang solat di luar rumah, juga di luar pagar.
Begitu besar kasih sayang orang ramai pada insan yang tidak memiliki apa-apa ini.
Ya, orang sayang kita sebab apa yang kita bagi, bukan pada apa yang ada pada diri kita sendiri.
~~*~~
Pada hari aku sedang cuak-cuak nak sambut anak orang, nak melafazkan akad yang berat, nak menyarungkan cincin buat kali pertama, abah dan ibu G (mak baru yea~) sanggup bersafar dari Terengganu. Hingga ke Skudai mereka merantau untuk anak teruna mereka seorang ini.
Dalam ketenangan dan kegembiraan ibuku melayan karenah ku yang sedang dalam mood tak stabil ini, ternyata aku dapat membaca kesedihannya.
Walau cuba untuk aku mengorek perlahan-lahan rahsia yang ada, tenyata dia enggan untuk berkongsi. Berkongsi sesuatu yang besar. Bahawa sesungguhnya adikku yang sedang dalam kandungannya itu gugur setibanya mereka tiba di UTM. Yakni sejam sebelum akad nikahku.
Dipaksa senyuman itu, dikerah sepenuh kekuatan untuk tetap di samping ku. Untuk setiap dari keluargaku tetap bersamaku, memberikan aku kekuatan yang kuat, hingga akhirnya aku mampu mengharungi hari yang besar itu.
Setelah tamat lafaz akad nikahku, aku, dengan wajah yang control melihat kedua ibu bapaku yang sentiasa gembira di sampingku.
Namun aku tahu, tidak lama kemudian mereka menjauh ke pinggir masjid. Abi memujuk ibu yang menangis teresak-esak. Meluahkan derita perasaan.
Selepas beberapa ketika, barulah ibu berkongsi bahawa mungkin disebabkan stres dan perjalanan yang jauh, menyebabkan ibu keguguran.
Betapa kerdilnya jiwa aku berbanding insan-insan di sekelilingku. Aku bersyukur kepada Allah kerana menganugerahkan ibu yang semulia ini yang menggantikan tempat umi di hati abi dan kami.
Dan ternyata, rezeki itu milik ilahi buat siapa sahaja yang Ia ingini. Ibu kini hamil lagi, insya-Allah akan lahir serentak dengan lahirnya bapa/ibu saudaranya.
2 comments:
masih best macam dulu.ingat nak jaulah utm ar.bawak anak2 buah.
Berjalan bermusafirlah
Post a Comment