Tuesday, December 8, 2009

Selamat Pengantin Baharu! (Another Theory of Mine)






Bulan 12, Musim Mengawan

Hari berganti hari. Kini sudah tiba musim cuti sekolah, juga musim ikhwah akhwat disatukan dalam sebuah rumah tangga dakwah. Hari minggu dalam diariku penuh dengan nama-nama dan alamat-alamat mempelai-mempelai di serata Malaysia. Tidak kurang juga ada undangan yang tidak dapat dipenuhi kerana ada tanggungjawab lain yang perlu diselesaikan.

Ada ikhwah yang akan menamatkan zaman bujang 30 tahunnya. Adik yang berumur 21 tahun juga tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan syariah dalam dirinya itu, menyempurnakan separuh keislaman mereka. Dari Johor (Taufik), Skudai (Amin), Batu Pahat (Zahid), Cheras (Nazif), Kota Bharu (Hariff), Melaka (Bakri), Terengganu (Hartono) dan Putrajaya (Musab). Sungguh, hati ini rasa sangat gembira dengan kejayaan mereka dan terasa sangat bersalah kerana tidak dapat hadir kebanyakan jemputan itu. Sejarah diri ini, tidak pernah melepaskan peluang mengaut ruh-ruh 'perjuangan' mereka walau sesempit manapun diri ini, ini merupakan kali pertama.

Semoga aku juga dapat mengiringi kalian suatu hari nanti dalam pertemuan yang penuh barakah. Jangan bertawakkal dengan mata dan materi kalian, bertawakkalah dengan Allah. Hari-hari selepas ini tidak akan seperti dahulu lagi. Kalian tidak akan memikirkan perut kalian sahaja, masa kalian sahaja atau segala kepentingan kalian seorang sahaja. Akan ada teman setia yang perlu kalian pimpin tangannya dan tuntun setiap langkahnya, seiring dan senada.

Rumah ini, rumah ikhwah ini kehilangan 4 orang pejuangnya, (walaupun mereka ini memang jarang tidur di rumah, semua ini gara-gara dakwah!). Akan sunyi dapur kita dan akan bertambah sewa rumah bulanan yang perlu kami bayar kerana pemergian duti bulanan kalian.

Jangan putus-putus memuji Allah atas anugerah ini. Sesungguhnya kemanisan yang dikecapi adalah ketentuanNya. Manis. Bertambah manis apabila pendamping hati adalah seorang isteri yang juga seorang serikandi dakwah. Siang malamnya adalah untuk Allah. Aku pasti kalian akan bertambah seri. Seberseri muka Akh Bakri sebentar tadi. (^-^)

"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad berjaya Menguasai negeri Makkah),

Dan Engkau melihat manusia masuk Dalam ugama Allah beramai-ramai,

Maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat."

(An-Nasr 110 : 1-3)


"Barakallahulaka wa barakallahu alaika wa jam'akuma fi khoir"

Semoga diberkahi Allah kepada mu
Semoga diberkahi Allah ke atasmu
Semoga dipertemukan Allah kedua mu dalam kebaikan






Berakhirlah suatu perjuangan

Teringat zaman-zaman bujang dahulu. Pengalaman bermujahadah melawan nafsu remaja yang memuncak. Diri mana yang tidak terdorong untuk berpacaran dalam dunia kini yang tidak putus-putus menawarkan 'kebahagiaan segera'.

Iklan-iklan mengiklankan cinta. Drama dan filem menceritakan cinta. Komik menggambarkan cinta. Novel membicarakan cinta. Hinggakan terasa hanya diri seorang ini tidak bercinta dalam zaman ini. Seringkali dianggap orang yang berakal kuno kerana tidak mempunyai teman wanita. Tidak kurang juga mengatakan diri ini jual mahal, nak yang cantik-cantik sahaja. Mungkin ada benarnya, bukan senang nak cari yang benar-benar imannya (Al-Mumtahanah : 10).

Apa-apaan pun, diri ini tetap dengan prinsip seorang muslim, pantang berpacaran sebelum pernikahan. Jari manis ini sudah bersarung berjenis-jenis cincin, berlakon sudah bertunang sekian lama, takut andai tragedi pancing memancing terkena umpannya. Status married di frienster dan facebook juga dijadikan perisai dari umpanan. Bukan mudah menjaga iman.

Namun itulah, kita kadang-kadang digoda dengan pelbagai sumber. Mata, minda dan telinga. Dan akhirnya berjaya dengan sebuah pernikahan, segala puji hanya untuk Allah. Tamatlah sebuah episod mujahadah yang panjang. Kesengsaraan dahulu kini membuahkan kebahagiaan. Hasil petunjukNya dalam istikharah itu, terjadinya suatu perjanjian yang kukuh, terbinanya sebuah 'Mahligai Kebahagiaan'.


Walaupun Usia Kita Masih Muda
Janganlah Kita Hanyut Dalam Arus Dunia

Kerana Ajal Tiada Mengenal
Tua Atau Muda Umur Dan Usia

Jikalau Kita Dipanjangkan Usia
Janganlah Hingga Lalai Dan Leka

Bersyukurlah Kita Di Atas Segala
Nikmat Nya Yang Tidak Terkira

Awas Dan Waspada,Jangan Terpedaya
Dengan Godaan Syaitan Durjana...

Hawa Nafsu Yang Kehausan
Harus Dileraikan Dengan Ketabahan

Banyakkan Ibadah, Tambah Saham Akhirat
Tingkatkan Iman, Amalkan Ihsan

Taman Syurga Melambai-Lambai
Kepada Mereka Yang Telah Berjaya

Mereka Di Sana Bersuka Ria
Di Taman Keindahan Mahligai Kebahagiaan

'Jannatunnaim'...
Haruman Raihan...
Nikmatnya Air Mata Salsabil...



Simpang siur pasti ditemui

Nasihatku (Az-Zariyaat 51: 55) kepada mempelai-mempelai ini, jangan harapkan kesempurnaan, tapi binalah ia. Benar, dengan nikah itu, sudah tertanggung akan dikau kesempurnaan dalam syahadah, namun tugas yang berat menanti kalian dengan rupa yang jauh berbeza.

Kalian ada masyarakat yang lebih luas untuk disantuni. Sebelum ini, mungkin sang ikhwah matanya terbuka memandang rijal-rijal sahaja, sudah sampai masanya mendengar rintihan-rintihan serikandi-serikandi dakwah pula.

Jika sebelum ini, orang-orang bujang ini tidak diiktiraf dalam komuniti setempat, tiada tanggungjawab dalam kejiranan itu (bak kata kariyah Surau Firdaus, Taman Kembang Sari), kini dikau akan merasainya. Bukan bersama orang-orang tua sahaja, namun kanak-kanak yang nakal-nakal itu juga. Malah dalam keluarga yang baru dibina ini, dikaulah ketuanya, pembuat keputusan itu.

Jika dahulu hanya keluargamu yang perlu difikirkan dalam apa-apa keputusan, kini ia bertambah dua kali ganda. Tidak lama lagi, kau akan ada anak yang akan mewarnai setiap detik dalam perhubungan ini, dan ini bermakna tugasmu bertambah lagi.

Namun, kau bertuah wahai saudaraku, kerana beban yang bertambah itu, tidak akan kau harungi berseorangan sahaja, kini kau sudah ada side-kick yang setia di sisi. Semoga kau tabah menghadapi segala-galanya.

Kepada ikhwah-ikhwah yang belum berjaya lagi, jangan risau, ntum boleh cuba lagi. Ada setahun lagi sebelum musim seterusnya. Aku sentiasa menunggu kad-kad jemputan dari kalian.

Pesanku, jangan mengharapkan perkahwinan dapat menyelesaikan masalah kalian. Jangan membawa masalah kalian ke dalam keluarga itu. Bertemulah ia dengan kemantapan dari segala segi, agar tidak porak peranda.

Pengalamanku (dari pengalaman orang lain), perkahwinan akan menyelesaikan masalah, namun pada waktu yang sama, akan ada masalah lain yang menanti. Jangan jadikan perkahwinan sebagai tempat mengumpul masalah-masalah peribadi, anda akan terkejut dengan masalah-masalah pasangan anda. Maka, ringankan jangan beratkan masalah. Biasalah, hanya mati yang akan menjadi rehat kita daripada masalah. Bersedialah.





2 comments:

S h a z w a n said...

husaini, teori settle - ana quote harith hehe

Abu Khalid said...

Ok la tu wea.. Fahmu dah ada, tinggal ikhlas... amal... fuh banyak lagi nak kena setel ni

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]