Wednesday, March 1, 2017

Amal kita merentas garis masa dan sempadan geografi

Peringkat kerja yang perlu dilakukan oleh saudara yang jujur ialah:

1. Memperbaiki diri sendiri sehingga dia memiliki tubuh yang kuat, akhlak yang mantap, berpendidikan, mampu berdikari, akidah yang sejahtera, ibadah yang betul, bermujahadah melawan diri, menjaga masa, segala urusannya tersusun dan berguna kepada orang lain. Semua ini wajib bagi saudara semua.

2. Pembinaan keluarga muslim. Mendidik ahli keluarganya supaya menghormati gagasannya. Memelihara setiap adab Islam dalam setiap sudut hidup berumahtangga. Teliti ketika memilih isteri. Didik isteri tentang hak dan tanggungjawabnya. Didik anak dan pengasuh dengan baik dan besarkan mereka berdasarkan prinsip Islam. Ini juga wajib bagi saudara semua.

3. Membimbing masyarakat dengan cara mengembangkan aspek yang baik dalam masyarakat. Menghapuskan segala amalan yang tidak baik di samping menggalakkan amalan yang baik. Menyuruh masyarakat melakukan perkara yang baik. Bertindak segera melakukan kebajikan. Menagih sokongan masyarakat supaya berpihak kepada gagasan Islam. Sentiasa berusaha menyemai budaya masyarakat menurut budaya Islam. Semua ini wajib dilakukan oleh saudara semua dan oleh jamaah sebagai badan pelaksana.

4. Membebaskan tanahair dengan cara mengusir kuasa asing (bukan Islam) daripada menguasai aspek politik atau ekonomi atau moral.

5. Memulihkan kerajaan supaya benar-benar bercirikan Islam. Dengan itu kerajaan ini akan menjalankan peranannya sebagai khadam kepada rakyat atau orang upahan rakyat dan bekerja demi kepentingan rakyat. Kerajaan Islam ialah kerajaan yang dianggotai oleh orang Islam dan melaksanakan segala fardhu Islam dengan tidak berterus terang melanggar perintah Islam. Kerajaan ini sebagai pelaksana hukum dan ajaran Islam.

Namun tidak salah jika kerajaan ini meminta bantuan orang bukan Islam ketika keadaan terdesak tetapi bukan untuk melantik mereka sebagai pemimpin. Kerajaan ini tidak perlu terikat kepada bentuk atau jenis tertentu. Apa yang penting ia mesti bertepatan dengan dasar pemerintahan Islam.

Sifat-sifat kerajaan ini ialah peka dengan tanggungjawab, prihatin dengan nasib rakyat, bertindak adil kepada semua, menjaga harta negara dan berjimat ketika menggunakannya.

Tanggungjawab kerajaan ini ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang- undang, memberikan pendidikan kepada rakyat, membina kekuatan negara, menjaga mutu kesihatan, memelihara kepentingan rakyat, membangunkan sumbernegara, menjaga keselamatan sumber negara, memantapkan akhlak rakyat dan mengembangkan dakwah.

Hak kerajaan (setelah menunaikan tanggungjawabnya) ini ialah rakyat perlu memberikan kesetiaan dan ketaatan. Kerajaan ini perlu dibantu dengan nyawa dan harta.

Jika kerajaan ini cuai, ia perlu dinasihat dan ditunjuk ajar. Jika tidak ia perlu dipecat dan disingkir. Tidak dibenarkan mentaati makhluk untuk menderhakai Allah.

6. Mewujudkan kembali sebuah negara untuk umat Islam dengan cara memerdekakan semua tanahair umat Islam, menghidupkan semula sejarah kegemilangan mereka, merapatkan jurang budaya mereka dan menyatukan suara mereka sehinggalah muncul kembali khilafah Islam yang telah lama lenyap dan lahir semula perpaduan umat Islam yang dicitakan.

7. Menjadi tonggak dunia (ustaziatul ‘alam) dengan cara menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. (Al-Anfal: 39)

Sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya. (Al- Taubah: 32)

Empat peringkat yang terakhir ini wajib dilaksanakan oleh sebuah jamaah dan oleh setiap saudara dengan kedudukan mereka sebagai anggota jamaah. Betapa beratnya tanggungjawab ini dan betapa besarnya peranan ini. Manusia akan melihat semua ini suatu khayalan namun saudara muslim melihatnya sebagai suatu kenyataan. Kita tidak akan berputus asa dan tetap menaruh harapan yang tinggi kepada Allah.

Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf: 21)

No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]