Monday, October 6, 2014

Perlumbaan ketiga?



Sedari kecil, kita diperkenalkan dengan kisah perlumbaan  di antara Arnab dan Kura-kura. Kisah ini adalah kisah Arnab dan Kura-kura yang dilagakan oleh Sang Kancil dan akhirnya Arnab bersetuju untuk membuktikan kelajuaannya melalui suatu pertandingan lumba lari dengan Kura-kura.

Dengan penuh bongkak, takabbur, ujub dan riak, Arnab telah berlari selaju mungkin meninggalkan kura-kura di belakang. Namun, kebongkakannya memakan diri apabila dia terleka, tertidur semasa berehat dalam perjalanan ke garisan penamat.

198 tahun kemudian, keturunan Kancil mengejek-ejek keturunan Arnab atas peristiwa yang memalukan itu. Tidak tahan dengan ejekan itu, Arnab mencabar Tok Kura untuk mengadakan pertandingan ulangan. Mereka telah bersepakat bahawa pertandingan ini akan menjadi pertandingan terakhir di antara kedua-dua kumpulan tersebut. Arnab gembira dengan permuafakatan itu dan Kura-kura sekali lagi berpeluang untuk membuktikan kekuatan dirinya.

Ironinya, kemenangan masih di pihak Kura-kura dengan memanfaatkan lereng bukit dan badannya yang keras. Badan kura-kura dilantunkan dari atas lereng sehingga ke garisan penamat. Kura-kura menjadi pemenang.

Sastera rakyat ini mengingatkan kita tentang kaum Aus dan kaum Khazraj. Kedua-dua kaum dari golongan Ansar ini telah berperang selama ratusan tahun angkara diapi-apikan oleh Kaum Yahudi di Yathrib. Hasil peperangan itu, yang  mendapat keuntungannya adalah Yahudi yang merupakan peniaga senjata yang terlibat dalam peperangan tersebut.

Malangnya, perseteruan saudara ini masih lagi berlaku sehingga ke hari ini. Israel, bagi mengekalkan hegemoninya telah menggunakan pelbagai cara yang ada bagi memastikan negara-negara di sekitarnya itu sentiasa berada dalam keadaan yang tidak stabil. Sama ada menggunakan proxy war (dengan menggunakan golongan yang diada-adakan untuk menghancurkan jirannya contohnya ISIS, Hizbullah dan pemberontak jalanan di Mesir) atau melalui jalan politik, melalui tangan-tangan Amerika (yang berperanan mencatur krisis di Asia Barat). Akhirnya, yang tetap kekal selamat itu adalah Israel.

Dr Mohsen Salleh mengatakan bahawa Syria, dengan kebinasaan yang dilakukannya memerlukan sekurang-kurang 30 tahun untuk dibangunkan semula, sebelum dapat melakukan serangan yang significant ke atas Israel. Ianya rentetan kehancuran dan kebinasaan yang melampau di dalam negaranya, menjadikan tentera di perbatasan yang bertahan (garrison) dan tentera serangan mempunyai keupayaan yang terbatas.

Watak kancil yang kecil, lemah dan bijak itu malah merupakan watak yang paling berbahaya dalam kisah ini.

***

Apabila kita berbincang tentang kisah perlumbaan di antara Arnab dan Kura-kura, seringkali pengajaran yang diambil adalah kegigihan dan kepintaran Kura-kura dalam memenangi perlumbaan tersebut.

Padahal kita lupa, hidup ini bukan sekadar terletak kepada kemenangan materi semata-mata.

Masyarakat perlu belajar bahawa Arnab dan Kura-kura, malah kita, perlu menghormati orang lain dan menghormati kepelbagaian di antara kita. Allah telah memberikan setiap daripada kita ini kelebihan yang tertentu. Tidak seharusnya sesiapa pun merasakan, “aku lebih mulia daripada mereka” (holier-than-thou).

 “Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti”

(Al-Hujerat , 49: 13)

No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]