Tuesday, October 7, 2014

Alangkah hebatnya Allah!

Pernahkah anda cuba untuk mencipta model binatang atau tumbuhan, atau apa sahaja dengan menggunakan Plastesin?
Pada cuti perayaan kali ini, aku berpeluang untuk menemani anak-anakku bermain dengan permainan mereka. Aku dan Zaujah lebih gemar bila anak-anak kami yang baru meningkat usia 2-3 tahun ini bermain dengan Plastesin dan Lego untuk membina keupayaan psikomotor mereka, berbanding bersama dengan iPads atau smartphones.
Sebenarnya, minggu lepas Khalid berpeluang masuk ke klinik pakar kerana beliau dengan penuh inkuirinya telah memasukkan plastesin ke dalam hidungnya. Segalanya selesai dengan baik alhamdulillah apabila kami (bersama Dr Pakar) mendapati plastesin itu tidak lagi berada di dalam hidungnya, tetapi sudah ditelan (Euw~)

Wallahua’lam, aku diciptakan dengan tangan yang tidak berapa nak seni. Apabila bersama anak-anakku, pelbagai binatang mereka minta untuk aku bentukkan. Cuba nak buat ikan pari, menjadi sudu. Cuba untuk buat gajah, jadi anak Lemur. Dan macam-macam lagi cubaan yang tak menjadi.
Tapi Allah, dengan kebijaksaannya bukan sahaja menciptakan makhluk-makhluk tersebut dengan begitu indah sekali, bahkan telah menciptakannya di peringkat luaran dan dalaman. Rupa paras yang indah, organ-organ yang berfungsi sebagai satu sistem, tisu-tisu yang membentuk organ-organ, sel-sel yang bersatu menjadi tisu, micro-organel yang berkomunikasi intra-sel mahupun inter-sel, molekul-molekulnya yang dibentuk oleh atom, malah sebuah sistem kompleks ini dianugerahkan nyawa dengan sistem hidup mereka sendiri.
Bayangkan bagaimana dengan satu benda hidup itu, kemudiannya ia boleh membiak menjadi satu spesies yang luas.

Bayangkan bagaimana akhirnya mereka bersosial, berkomunikasi sesama mereka untuk menjadi satu komuniti.

Komuniti spesies ini pula kemudiannya berada dalam rantai makanan yang bercambah menjadi sistem makanan. Ada yang menjadi mangsa dan ada yang menjadi pemangsa.

Tidak cukup dengan itu, adanya komunikasi setiap satu rantai makanan itu dengan rantaian makanan yang lain.

Tumbuhan memberikan oksigen kepada semua binatang untuk bernafas. Ia menukarkan tenaga matahari menjadi tenaga yang akhirnya dipindahkan dari satu binatang kepada pemakannya. Dari serangga kepada katak, kepada ular, kepada burung dan sebagainya.
Akhirnya, ianya  membentuk satu sistem seimbang yang dinamakan sebagai bio-sfera. Bio-sfera ini berkembang menjadi sistem bumi. Dan bumi pula berkomunikasi dengan sistem Suria yang bersifat lebih makro.


Keseimbangan sistem Suria ini dipaksikan kepada sebuah bintang yang bernama matahari. Matahari dengan gravitinya menarik planet-planet agar dekat kepadanya. Ia mempengaruhi iklim di setiap 9 planet-planetnya (Pluto tidak lagi dikatogerikan sebagai planet di dalam sistem suria). Sistem Suria ini juga bergantung kepada sistem pada bintang-bintang lain yang akhirnya membentuk gugusan bintang yang kita kenali sebagai Bima Sakti. Entah ada berapa binatang yang wujud di dunia ini. Entah ada berapa planet di dalamnya. Besar, sangat besar. Malah sehingga sekarang kita tidak mampu memberikan jawapan yang mutlak, sebesar apa dunia ini?

Apabila melihat kepada plastesinku yang tidak berapa nak menjadi itu, aku berasa malu. Dalam rasa malu itu, aku lega. Kekurangan ini mendekatkanku dengan Rabbku.

Khalid gembira menerima gajahnya. Hanak gembira bila aku hadiahkannya gelang dan guli yang aku bentuk dengan tanganku. Satu lagi perkara yang masih aku gagal untuk jawab sehingga hari ini.

Apakah ada limit kepada kegembiraaan? Apakah agaknya, sebesar apakah agaknya rasa gembira apabila bertemu Tuhan kelak?

Plastesin masih di tanganku. Rasa iman ini sahaja sudah membuatku bahagia dengan rasa gembira yang sedikit itu.

Tak sabar.

No comments:

[Blog Archieve]

[Ahlan Bina]